Monday, 16 December 2013

Rumusan: Kepentingan Bersukan

KEPENTINGAN SUKAN

Sukan ialah aktiviti yang melibatkan banyak pergerakan badan serta penggunaan alat-alat khas.  Melalui sukan banyak manfaat yang boleh dicapai terutama sebagai seorang yang inginkan keseimbangan dari segi fizikal dan emosi.

Manfaat utama yang diperoleh dari bersukan ialah kita dapat mengekalkan kesihatan diri. Apabila kita bersukan, secara automatiknya badan kita akan berpeluh lalu meregangkan otot-otot badan yang tegang dan menjadikan badan kita cergas. Dalam kajian sains juga terbukti bahawa badan yang cergas merangsang minda yang cerdas serta membangkit hormon yang bertanggungjawab mengawal perasaan gembira kita. Secara tidak langsung kita akan memperoleh keseimbangan hidup.

Seterusnya, bersukan juga mengurangkan masalah sosial yang semakin meruncingkan di Malaysia kerana remaja yang bersukan akan mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah berbanding remaja yang tidak bersukan dan suka duduk melepak tanpa arah tuju. Remaja bersukan juga berpotensi menjadi aset utama negara terutama dalam arena sukan.

Sukan bukan hanya untuk riadah malahan boleh dijadikan sebagai karier dan dapat meningkat imej negara di persada dunia. Dari minat boleh diasah bakat sukannya menjadi kontinjen atlet profesional kebanggaan negara seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David.

Sesuai dengan konsep 1 Malaysia 1 Sukan, sukan dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Apabila kita bersukan bersama, kita dapat mengeratkan silaturahim serta bekerjasama sebagai satu pasukan demi mengharumkan nama negara tercinta.
 
Oleh itu, kepentingan bersukan tidak harus dipandang remeh dan perlu dipertingkatkan ke peringkat antarabangsa agar rakyat Malaysia menjadi warga yang sihat dan mampu menaikkan nama Malaysia di mata dunia.

Kredit: 
Librarian MaeMae
www.metrosportsnh.com

No comments:

Post a Comment